Lawatan Sambil Belajar ke 7RRD

Pegawai Kadet Intermediate dan Junior UMP

Pada 10 Mac 2018, Pegawai Kadet Intermediate dan Junior UMP buat pertama kalinya telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja Mekanise (7 RRD Mek) yang berada di Mentakab, Pahang. Turut hadir, pegawai latih dan jurulatih-jurulatih untuk mengiringi mereka di sana.

Kedatangan para Pegawai Kadet amat dialu-alukan dan disambut oleh anggota di 7RRD. Setibanya di sana, pembelajaran dimulakan dengan Battalion Infantry Standard (BIS) oleh Lt. Muda Lutfi untuk mendedahkan tentang struktur kumpulan dalam sesebuah batalion.

Aktiviti seterusnya adalah melihat pameran senjata yang telah disediakan di padang kawad 7RRD. Pegawai Kadet berkesempatan untuk memegang dan mengenali senjata yang tidak didapati di rejimen-rejimen lain seperti AW50.

Pameran Senjata

Selain itu, Pegawai Kadet juga berpeluang untuk melihat dan mempunyai pengalaman masuk ke dalam pelbagai kereta perisai. Mereka telah didedahkan dengan kelajuan sesebuah kereta perisai, jarak efektif senjata dan banyak lagi.

Seterusnya, program dikendalikan oleh beberapa anggota 7RRD untuk memperkenalkan kawasan-kawasan di dalam kem tersebut seperti asrama, kawasan latihan, padang sasar dan sebagainya. Semua pegawai anggota diberi peluang untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang peranan rejimen tersebut.

Tidak ketinggalan pegawai kadet telah dibawa ke Survival Village yang merupakan salah satu pusat latihan ikhtiar hidup yang mengajar anggota tentera untuk terus hidup di dalam hutan. Mereka juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi menghidupkan api dengan menggunakan batu dan parang. Selain itu, mereka turut diajar untuk membezakan antara daun yang boleh dan tidak boleh dimakan serta perangkap haiwan.

Kemudian kami telah didedahkan dengan cara latihan di 7RRD seperti river crossing, spider web course dan sebagainya. Aktiviti diadakan untuk menguji tahap mental dan fizikal para pegawai kadet. Turut diadakan aktiviti mendayung bot dan PT Bot.

Antara Aktiviti yang Dijalankan

Sebelum bersurai, pihak Palapes Darat UMP, Mejar Johari merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan penganjur kerana telah berjaya menarik minat semua pelatih disamping membaik pulih kerjasama di dalam pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *